Satu Rindu..

December 21st, 2006 by harne2
       

Hujan kau ingatkan aku
Tentang satu rindu
Di masa yang lalu
Saat mimpi masih
Indah bersamamu

Terbayang satu wajah
Penuh cinta penuh kasih
Terbayang satu wajah
Penuh dengan kehangatan
Kau ibu..Oh ibu

Allah izinkanlah aku
Bahagiakan dia
Meski dia telah jauh
Biarkanlah aku
Berarti untuk dirinya
Oh ibu..oh ibu..kau ibu

BENARKAH HAWA MEMUJUK ADAM MEMAKAN BUAH KHULDI ?

November 9th, 2006 by harne2

 

Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

 

 

 

 

Allah
s.w.t. menempatkan Nabi Adam dan isterinya di dalam syurga sebelum
mereka berdua dihantar ke dunia ini. Di tempat yang indah itu, Allah
s.w.t. menghalalkan kepada mereka berdua makanan-makanan kecuali buah
dari satu pohon. Tipu daya Iblis menyebabkan mereka berdua memakannya
lalu bermulalah kehidupan manusia di dunia ini.

 

 

 

Umum
tersebar bahawa Hawa telah memujuk Adam memakan buah tersebut. Hal ini
disebutkan oleh Ibn Hajar al-`Asqalani ketika menghuraikan hadis
berikut:

 

عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم : ولولا حواء لم تخن أنثى زوجها.

 

Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w.: “Dan kalaulah tidak kerana Hawa, perempuan tidak akan mengkhianati suaminya.”

 

 

 

Kata
Hafiz Ibn Hajar: “Di dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa peristiwa
yang berlaku kerana Hawa memberi gambaran yang indah tentang pokok itu
kepada Adam lalu berlakulah apa yang telah berlaku. Makna khianat Hawa
ialah dia telah menerima bujukan Iblis lalu memujuk Adam pula. Oleh
kerana Hawa ibu kepada sekalian wanita dan paling serupa dengan Hawa
dari segi melahirkan anak, maka hampir tidak seorang wanitapun yang
terselamat dari menderhaka kepada suaminya sama ada dengan ucapan atau
perbuatan. (Fath al-Bari, jil. 6 hal. 515)

 

 

 

Dalam
menjelaskan maksud hadis ini, Hafiz ibn Hajar tidak merujuk kepada
mana-mana riwayat hadis atau pendapat sahabat. Penjelasan beliau
bukanlah sesuatu yang dapat difikirkan dengan aqal semata-semata.
Dengan kata lain, penjelasan ini bukan  berdasarkan kepada ijtihad
tetapi pasti bersumberkan mana-mana riwayat. Tentu sekali beliau
mempunyai sumbernya yang tersendiri. Apabila beliau tidak menunjukkan
mana-mana riwayat hadis, tentu sekali sumbernya ialah riwayat
Israiliyyat. Kalau diandaikan adanya riwayat maka riwayat itu tidak
sahih kerana bercanggah dengan fakta-fakta al-Quran.

 

 

 

Dengan merujuk kepada al-Quran segala kepalsuan dan kepalsuan riwayat tersebut akan terdedah. Allah s.w.t. berfirman:

 

 

 

فَوَسْوَسَ
لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ
سَوْآَتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ
إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ

 

 

 

Lalu
syaitan menghasut mereka berdua (memakan buah pokok larangan) dengan
tujuan untuk mendedahkan aurat mereka yang selama ini terlindung dari
mereka, lalu ia berkata: Tuhan kamu tidak melarang kamu mendekati pokok
ini melainkan supaya kamu tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi
dari kalangan mereka yang hidup kekal abadi.
(al-A`raf: 20)

 

 

 

Dalam
ayat ini jelas bahawa syaitan yang menghasut Adam dan Hawa bukan
syaitan menghasut Hawa kemudian Hawa menghasut Adam pula. Dalam surah
Taha, ayat 120, penafian bahawa Hawa tidak memujuk Adam lebih jelas
lagi:

 

 

 

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا
آَدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى

 

 

 

Lalu
syaitan membisikkan fikiran yang jahat kepadanya dengan katanya: Wahai
Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pokok hidup kekal dan kerajaan
yang tidak akan musnah?
(Taha: 120)

 

 

 

Syaitan, bukannya Hawa,  yang menghasut Nabi Adam dengan menimbulkan waswas dan memberi sumpah yang palsu.

 

 

 

وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي
لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ
.
فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا
سَوْآَتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ
وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ
وَأَقُلْ لَكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُبِينٌ

 

 

 

Dan
dia (syaitan) bersumpah kepada mereka berdua: Sesungguhnya saya
termasuk dalam kalangan orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua.
Maka syaitan membujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu
daya. Tatkala keduanya telah merasai buah tersebut nampaklah bagi
mereka berdua aurat masing-masing dan mereka berdua mulai menutupinya
dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan menyeru mereka berdua: Bukankah
Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku  katakan kepada
kamu berdua, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu
berdua.
(al-A`raf: 21-22)

 

 

 

 

 

Allah
s.w.t menegur Adam kerana lupa kepada janji bukan kerana menerima
pujukan Hawa dan Hawa pula tidak ditegur oleh Allah kerana kesalahannya
mengkhianati suaminya.

 

 

 

Al-Sabuni
menukilkan daripada Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ibn Kathir bahawa Ibn
Abbas berkata: “Syaitan memperdayakan mereka berdua dengan sumpah. Adam
menyangka bahawa tidak seorangpun berani berdusta dalam bersumpah
dengan nama Allah lalu syaitan memperdayakan mereka berdua dengan
sumpahnya.” (Safwah al-Tafasir, jil. 1 hal. 439)

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana penafsiran hadis al-Bukhari yang menyabitkan Hawa mengkhianati Adam?

 

 

 

Berlaku tashif dalam meriwayatkan hadis ini iaitu kesilapan dalam hurf خ yang sepatutnya huruf ح. Tashif ialah pengubahan perkataan di dalam hadis.

 

 

 

عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم: ولولا حواء لم تحن أنثى زوجها).

 

 

 

Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w: “Dan kalaulah tidak kerana Hawa, perempuan tidak akan merindui suaminya.”

 

 

 

Meriwayatkan hadis ini dengan huruf ح
lebih tepat dan lebih sesuai dengan fitrah kejadian kaum wanita. Sifat
rindu dan setia kepada suami terdapat pada setiap wanita tanpa mengira
agama dan bangsa.

 

 

 

Menisbahkan
setiap khianat yang dilakukan oleh wanita kepada Hawa adalah sesuatu
yang tidak adil dan bercanggah dengan akal yang sejahtera dan fitrah
yang suci.

 

 

 

Apabila
kita mengenepikan nas-nas al-Quran dengan menerima riwayat Israiliyyat
dan menafsirkan hadis berdasarkan Israiliyyat, maka kita telah
merendahkan kedudukan wanita. Seolah-olah merekalah punca kerosakan dan
dosa orang lain. Sedangkan satu jiwa tidak sekali-kali menanggung dosa
orang lain. Dari satu sudut pula, riwayat ini menyerupai konsep dosa
warisan yang menjadi doktrin agama Kristian iaitu setiap jiwa tidak
bersih dan Nabi Isa yang telah menebus dirinya untuk menyucikannya. (Al-Mawsu`ah al-Muyassarah Fi al-Adyan wa al-Mazahib al-Mu`asarah, hal. 504)

Seks dan pergaulan bebas…di manakah NILAI kita?

November 9th, 2006 by harne2

"Semalam
seorang sahabat mengirimkan ustazmuda satu e.mail dan meminta agar
ustazmuda dapat mengeluarkan di blog dan dikongsikan dengan beberapa
groups. Kiriman e.mail yang juga beliau dapati melalui e.mail sahabat
lain… kira perpanjangkan perkara yang baik moga ada manfaatnya.
E.mail merupakan satu soaljawab seorang remaja dengan seorang
pendakwah. Pendakwah yang memang agak dikenali tika ini.

Persoalan
yang boleh dikira sebagai lumrah dialam remaja sekarang. Remaja yang
sedang kita hadapi hari ini. Persoalan mungkin pelik bagi kita tetapi
adalah dianggap biasa pada mereka. Itulah hakikatnya. Perzinaan!!!
sesuatu yang seolah sudah menjadi biasa bukan sahaja dikalangan remaja,
bahkan melibatkan setiap generasi. Dari pelajar sekolah hinggalah ke
warga emas yang telah menjangkau usia pun terlibat dalam perkara
sebegini. Amat menggerunkan.

Ustazmuda tidak mahu memanjangkan kalam… teliti fahami dan hayatilah pemikiran sebahagian besar anak muda kita sekarang.

Soalan :
Seorang
remaja yang menamakan dirinya Yang Ikhlas telah menghantar satu surat
kepada Dr Danial Zainal Abidin baru-baru ini. Antara isi surat itu
ialah:

Dr. Danial yang dihormati. Saya telah bercinta dengan
seorang wanita. Demi cinta kami telah berzina, tetapi saya tidak rasa
bersalah sebab saya ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai
isteri saya. Saya tidak bertujuan untuk mempermainkannya. Rakan-rakan saya mengatakan tindakan saya adalah gentleman, tetapi saya telah dimarahi oleh orang-orang tua saya. Saya rasa mereka berotak kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.

Jawapan Dr. Danial Zainal Abidin:
Yang
Ikhlas & yang dihormati. Saya bersyukur tentang keikhlasan saudara
dan saya berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu
jugalah saya menulis jawapan ini kepada saudara. Dunia pada hari ini
sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis
nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon
dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah
menulis bahawa: ‘ Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah
runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas… Di akhir
abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan
yang paling dahsyat sekali!

Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu.

Nabi bersabda: ‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’. (Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi)

Nilai
akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting
bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia
mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita
menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni,
selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya.

Alangkah
indahnya firman Allah yang bermaksud: ‘Isterimu adalah ladang bagimu
maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu’(Surah
Al-Baqarah ayat 223).

Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin,
puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara
yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya. Saya harus
mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep
Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence,
Italy yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya The
Prince telah menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat
membersihkan cara.

Asalkan niat kita baik, berzinalah,
menipulah, khianatilah, menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua
adalah halal bagi Machiavelli. Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada
perkaitan dengan krisis nilai ini apabila seorang tokoh koporat
berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan
seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa
niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai
yang sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa
perkahwinan!

Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan
seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan
akhlak adalah kolot. Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan
sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas telah berjaya merebakkan
penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel
pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia - Killer Epidemic in Sex Paradise (AIDS di Asia - Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya.

Di
California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997.
Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika
mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua
kali ganda kemungkinan diserangi masalah emosi di dalam hidup mereka,
berbanding dengan anak-anak lain
(Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).

Kita
di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi
luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan
yang membanggakan bagi dunia moden. Islam menekankan bahawa niat dan
cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat
mengharamkan zina.

Nabi kita bersabda, Selepas dosa syirik
kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang
meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya!
(Hadis riwayat Ahmad & Thabrani)

Saya
berharap saudara Yang Ikhlas akan kembali ke jalan yang murni
berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang
kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran. Kaum Lut hancur
kerananya. Kota Pompei hancur kerananya. Empayar Rom juga hancur
keranannya. Justeru, kembalilah ke pangkal jalan."

… teringat
ustazmuda satu kisah di zaman baginda rasul dahulu. Di mana rasul SAW
didatangi oleh seorang musyrik dan mengatakan kepada baginda akan
keinginannya untuk menganut Islam, akan tetapi beliau tdak dapat
meninggalkan perbutan zina. Baginda tidak pula memarahinya jauh sekali
mengherdik pemuda itu, justeru baginda bertanya semula.

Sukakah kami andai seseorang berzina dengan ibu kamu???
Sukakah kamu andai seseornag berzina dengan kakak kamu???
Sukakah kamu andai seseornag berzina dengan adik kamu???

Lantas
pemuda tersebut mengatakan tidak. Nabipun menyambung, begitu jugalah
kepada mereka yang dizinai. Begitulah pendekatan nabi lembut dan penuh
hikmah.

Nukilan : Dr. Danial bin Zainal Abidin
(M.B.Ch.B. Universiti Alexandria)
Doktor Perubatan, Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
Motivator Mutiara FM (Radio Pulau Pinang),
Penulis 8 buah buku,
Kolumnis Majalah I terbitan Karangkraf,
Penasihat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa,
Imam Waris Beradat Pertubuhan Seni Silat Gayung,
Pendakwah Bebas dan Khatib Jemputan
Bapa 8 Orang Anak (3 Belia 4 Remaja dan 1  Tadika)

Post Raya Syndrome

October 30th, 2006 by harne2
Alhamdulillah…tamat sudah sebulan
berpuasa.. Raya tahun ini mengundang pelbagai cerita menarik untuk
dikongsi. Apa yang pasti, ia lebih meriah berbanding tahun sudah. Pagi
Aidilfitri diisi dengan solat hari raya dan jamuan ringan di Ilam
Common Room. Apa yang menariknya, ‘Clown’ disewa untuk menghiburkan
kanak-kanak, tetapi menjelang tengahari, baru saya sedar, yang
mengerumuni clown itu semuanya abang-abang dan kakak-kakak sahaja
(penulis juga tidak terkecuali). hm mungkin ketika kecil kami tidak
berkesempatan untuk merasa itu semua. Jadi, di kesempatan yang ada, di
hari raya pula, gunakanlah sebaik-baiknya bukan?…=)

Keesokan hari, seronok sakan berjalan raya ke rumah post grad dan
PR beramai-ramai. Saya pasti, suasana sebegini pasti sukar didapati di
tanah air, lantaran rakan-rakan ’sekepala’ kebanyakannya pulang ke
kampung masing-masing untuk beraya. Kesannya, setiap kali pulang ke
kampung, kita akan terasa seperti orang asing (termasuklah saya juga)
lantaran sudah tidak kenal akan saudara-mara terutama yang jauh,
bau-bau bacang. Mana tidaknya, kebanyakan masa sepanjang tahun
dihabiskan bersama rakan-rakan di bandar, maka apabila pulang ke
kampung, jawabnya tidak kenallah saudara-mara yang jauh-jauh itu.
Kerana itu lah, budaya ziarah-menziarahi amat penting kita pertahankan.
Jangan biar malas menguasai diri. Mahu menonton tv, alasan yang selalu
bermain di bibir. Jika kita berterusan begini, tidak mustahil suatu
hari kita akan bermuka sombong, walaupun dengan saudara kita sendiri!!

Lebih menarik, buat pertama kali, "Jejaka 301" membuat open house, atau
lebih dikenali dengan rumah terbuka. Pengalaman yang amat menarik untuk
dicoretkan. Bukan mudah untuk kami melakukannya buat kali pertama,
tetapi apa pun yang berlaku, kami cuba sedaya-upaya. Alhamdulillah
berhasil. Menu utama:
1) Nasi Kerabu Kuning (Yellow to Wednesday Rice)
2)Kari Ayam (Chicken Curry)
3) Ulam Raja (Bukan Raja Riduan yer..)
4)Nasi Impit (Squished Rice)
5)Kuah kacang (You-are-so-nutty-sauce)
6)Muffin (Half fat as it is already cut into half)
7)Sirap Selasih Tanpa Selasih
8)dan banyak lagi…malas nak taip

Tujuan
kami memikirkan nama-nama Inggeris untuk hidangan kami adalah, kami
beranggapan ramai juga rakan-rakan non-Malay akan datang.
Sekurang-kurangnya mereka faham. Tetapi hanya Bernard dan Lam sahaja
yang hadir. Tidak mengapalah. Apa-apa pun, kami belajar sesuatu
daripada rumah terbuka itu. Bak kata seorang rakan yang pandai memasak,
‘makanan biar berlebih, jangan tidak cukup’. Jika tidak, itulah
akibatnya. Barulah terpaksa membeli ayam, dan beberapa masalah susulan
berlaku. Tidak mengapa, yang penting kami berasa puas hati dan lega
segalanya telah selesai.

Mungkin kerana kejutan penerimaan
makanan yang pelbagai jenis dalam masa serentak, saya diserang demam
dan beberapa penyakit lain (sensitif untuk disebut di sini). Hinggakan
termuntah-muntah. Nasib baik perut tidak meragam semasa periksa.
Kelmarin, ada dua lagi jemputan majlis hari raya. Saya amat berat hati
untuk pergi, lantaran punya exam keesokan harinya, sedangkan saya baru
selesai membaca 50% daripada keseluruhan subjek. Tetapi demi tidak
mengecewakan jemputan orang yang menjemput, saya gagahkan juga kaki
untuk menekan minyak kereta. Selesai beraya, saya tertidur lantaran
kepenatan. Baca pun tidak memberi kesan. Malamnya, lantaran bacaan
sendiri tidak berkesan, saya berkunjung ke rumah rakan-rakan Maidstone.
Ramai sungguh mereka di sana. Saya juga tidak dapat menumpukan
perhatian sebenarnya. Kepala terlalu bercelaru. Gerun saya melihat
rakan-rakan membincangkan soalan past year, sedangkan saya seolah-olah
tidak tahu apa-apa. Ditambah pula dengan perut yang meragam, makin
menjadi-jadi peningnya. Akhirnya, setelah selesai membuat past year
(menyalin jawapan sebenarnya), saya pulang
dengan harapan dapat
mengulangkajinya di rumah. Tetapi tidak juga. Cek emel dan tertidur.
Pagi esoknya, Alhamdulillah, Allah menggerakkan saya untuk membaca
latihan past year yang saya tinggalkan malam tadi. Maha suci Allah,
soalan exam adalah sama seperti latihan past year yang baru saya baca.
Syukur saya panjatkan ke hadrat Allah kerana memberi kemudahan kepada
saya. pengajaran daripada cerita ini:
1) Penuhi hak saudaramu yang menjemputmu
2) Jangan berusaha sehingga last minute, kerana nasib baik tidak selalu bersama kita
3) Pohonlah bantuan Allah di saat tenang dan cemas. InsyaAllah Allah tidak akan membiarkanmu keseorangan.
4) Put our trust in Allah.

Saat
ini, perut semakin pulih lantaran ginger beer yang berjaya mengeluarkan
angin-angin yang tidak perlu tetapi suka untuk bermukim di dalam perut
saya. Semuanya atas kekuasaan-Nya jua. Syukur. Sekian..

Perginya Ramadhan yang dilupai

October 22nd, 2006 by harne2

    Alhamdulillah, sampai juga umur saya Allah pinjamkan ke penghujung Ramadhan ini. Suatu tempoh ‘latihan diri’ yang penuh bermakna. Malam ini, entah kenapa, saya terasa amat sedih. Mungkin kerana perginya Ramadhan ini tanpa sempat saya membersihkan dan memperbaiki diri sebaik-baiknya. Mungkin juga kerana saya gagal menyempurnakan segala ibadah yang dirangcang selengkapnya. Adakah saya masih punya kesempatan temu Ramadhan tahun hadapan? Saya pun tidak pasti. Moga ibadah saya ini diterima. Moga saya dapat istiqamah, kerana salah satu tanda sesuatu amalan diterima ialah, istiqamah dalam melakukannya.
    Esok petang saya akan mengikut abang Hamdan menaiki Cashmere Hill untuk melihat anak bulan. Saya amat berharap ia akan kelihatan esok, lantaran Mekah telah pun menyambut Aidilfitri hari ini. Australia pula esok hari. Tambahan pula, saya punya peperiksaan EMATH271 pada pagi 25/10 nanti. Apa-apa pun, saya serahkan kepada Allah S.W.T. untuk menentukannya. Buat akhirnya, suka sekali saya memetik serangkap pantun yang dipopularkan oleh Encik Tat:

             

             Anak sotong di dalam laut,
             Anak laut di dalam sotong,
             Itu sotong berenang di dalam laut,
             Tidak terdapat di taman burung.


Salam Aidilfitri kepada semua. Ampun maaf saya pohonkan atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan. Moga berbahagia di hari lebaran mulia…

Perginya sebuah permata

October 12th, 2006 by harne2

    Saat saya menaip entry ini, kelas telah pun secara rasminya tamat untuk semester ini…Ini juga bererti saya hanya mempunyai masa berbaki kurang sebulan untuk berada di tahun professional pertama. Alhamdulillah, terlalu banyak kenangan yang sukar dilakarkan oleh kata-kata, mengisi perjalan masa saya selama setahun ini. Belajar di bidang kejuruteraan mekanikal, kami sering ‘dihadiahkan’ oleh test yang setia mendatangi saban minggu, menjadikan kami berada di dalam keadaan ‘constant pressure’ dan sehingga kami menjadi ’saturated’ lantaran ujian yang berterusan hingga ke minggu terakhir persekolahan sebelum peperiksaan. Feelingless.

    Hari-hari saya kebanyakannya dihabiskan di sebuah makmal ’sihir’ yang diberi nama "GLADE". Di situlah segala tugasan assignment disiapkan, latihan dibuat, buku ditelaah, perbincangan rancak berjalan, persahabatan terbina, ketawa dan bergaduh yang telah pun menjadi perkara biasa, dan yang paling penting, saya dapat mengenal watak-watak manusia yang pelbagai ragam dan coraknya. Semuanya saya sematkan dengan kemas dalam catatan hidup sebagai bekal berguna buat panduan saya berhadapan dengan cabaran yang jauh lebih hebat di masa hadapan.

    Terlalu banyak perkara yang ingin saya simpulkan. Namun baru kini saya temui ruang dan peluang untuk menterjemahkannya di ruangan ini. Itu pun, saya tidak punya banyak masa lantaran terpaksa ke tempat kerja sebentar lagi. Sejenak, teringat pertemuan pertama saya dengan Bro Umar El-Haddad di surau ISS selepas solat zuhur. Waktu itu, pengamatan pertama saya terhadapnya  membuahkan konklusi bahawa  beliau  adalah seorang  yang agresif dan responsif, terutama dalam mengutarakan pendapatnya sendiri. Namun, ternyata pengamatan saya itu kurang tepat setelah saya mengenali peribadi beliau yang sebenar. Beliau adalah seorang hafiz dan amat knowledgeable. Tanya sahaja tentang isu baru atau lama, pasti anda akan mendengar jawapan bernas daripadanya.  Beliau  punya  misi dan aim yang jauh. Saya masih teringat ketika pertama kali kami membincangkan tentang aktiviti MUSA (Muslim Student Association), beliau berkata,"We will be noticed, one day". Mungkin agak keterlaluan bagi seorang calon pHD yang baru sahaja menjejakkan kaki di bumi Christchurch beberapa hari sebelum itu untuk berkata sedemikian,  namun  berkat kesungguhan usaha beliau memartabatkan Islam di bumi Canterbury ini ,  kata-katanya itu kini telah pun menjadi kenyataan. Sehinggakan  detektif polis, Earle Borell datang bertandang beberapaka kali ke rumah saya, hanya untuk bertanyakan tentang MUSA dan aktiviti Palestinian Fund yang kami jalankan!. Yes, now  we are really noticed.
    

Berbangga dengan gelaran HAMBA..

September 30th, 2006 by harne2

     Kala ini, jam 4 pagi setelah ‘daylight saving’ bermula, mata saya masih belum mahu lelap menerbangkan diri ke alam mimpi..entah kenapa, badan terasa penat, namun mata masih tidak mahu tidur. Harap-harap ‘biological clock’ saya tidak berubah lagi..

    Sejenak terkenang peristiwa hitam 27 September, Alhamdulillah saya kini beroleh kekuatan dan keupayaan untuk meneruskan kehidupan dengan redha tanpa mempersoalkan nasib yang menimpa. Saya teringat suatu cerita, seorang bapa di Kedah, anak perempuannya dirogol dan dibunuh oleh PATI Indon, (Pendatang Asing Tanpa Izin). Bapa itu meratap sedih lantas mempersoalkan taqdir, mengapa suratan sebegitu rupa harus menimpa dirinya….Dalam suatu ketika lain, saat Tsunami melanda yang menyaksikan gelombang ombak itu menelan dan mengebumikan beratus-ratus nyawa, muncul seorang bapa menjawab persoalan pemberita akan kematian kesemua ahli keluarganya. Dengan tenang dan penuh kesabaran, beliau menjawab…semuanya itu adalah pinjaman Allah, sekarang telah tiba masa Allah mengambilnya semula…Mendengar jawapan itu, hati saya tersentuh dan terharu…betapa kuatnya jiwa si ayah itu. Saya pasti, jawapan itu adalah gambaran jiwa dan hatinya yang betul-betul yakin dan percaya akan taqdir Allah yang maha indah. Cuba kita bayangkan, keluarga yang telah dibina dengan jerih penat selama berpuluh-puluh tahun hilang dalam masa beberapa minit sahaja di hadapan mata.  Andai kita berada di tempat  si ayah itu, tanpa jiwa yang kuat, mampukah kita  menerimanya dengan redha, lantas menzahirkan sebuah jawapan setabah itu?

    Persoalan ini sebenarnya menyentuh kesedaran akan hakikat diri kita sebagai hamba Allah di dunia ini. Ibarat seorang hamba raja yang diberikan makan, perlindungan dan pakaian, dia menggunakan segalanya tanpa rasa memiliki secara kekal akan nikmat-nikmat yang dikecapinya itu. Lantas, bila sahaja nikmat itu diambil semula, dia tetap berasa bersyukur kerana pernah menerima nikmat itu selama ini. Apakah relevannya dengan realiti hidup kita hari ini? Ya, kita adalah hamba kepada Raja segala Raja. Allah Subhanahu Wata’ala. Dia lah Tuhan yang memberikan rezeki dan nikmat tanpa berkira-kira kepada kita sejak di alam rahim lagi, (Alam rahim adalah alam kasih sayang seorang ibu kepada anaknya). Nikmat demi nikmat dilimpahkan, tanpa mengira kita bersyukur, lupa, mahupun mendustakannya. Namun, Nikmat adalah ujian. Kerana itu ramai manusia terlupa akan dua perkara:
1) dirinya masih lagi seorang hamba
2) nikmat yang dikecapi  tiada satu pun miliknya yang hakiki

    Oleh kerana mereka terlupa akan 2 perkara penting ini, maka mereka menjadi cinta kepada nikmat dunia, sehingga terlupa kepada pemberi nikmat itu sendiri. Umpama seseorang yang terlalu memuja sesebuah hadiah, lebih daripada pemberi hadiah itu sendiri. Pelik bunyinya bukan? tetapi hakikatnya itulah yang berlaku pada manusia kebanyakan…

    Saya teringat akan cerita seorang pengembala dan kambing-kambingnya yang banyak. Menariknya, pengembala ini menternak kambing-kambingnya mengikut kelompok-kelompok keluarga. Setiap keluarga kambing, ditempatkan di dalam kandang berasingan. Suatu hari si pengembala ingin menyembelih 4 ekor anak kambing daripada sebuah unit keluarga. Maka si pengembala itu pun bertanya kepada kedua ibu bapa kambing itu,"Bolehkah saya menyembelih 4 ekor anak-anak kamu?". Maka apakah jawapan ibu kambing yang menyayangi anak-anaknya itu? Sudah tentu tidak, kerana ia amat kasihkan anak-anaknya yang comel dan manja, walaupun mandi bukan kebiasaan harian mereka. Persoalannya di sini, wajarkah si pengembala itu bertanyakan soalan sedemikian kepada ibu dan bapa kambing-kambing itu? Jawapannya tentulah tidak wajar, bahkan tidak perlu, lantaran bukan sahaja anak-anak kambing itu, malah kedua ibu-bapa mereka juga adalah milik si pengembala. Terpulanglah kepada pengembala itu untuk melakukan apa sahaja, mengikut kehendak dan kebijaksanaannya. Allah S.W.T adalah pemilik hakiki setiap makhluk di muka bumi. DIA lah pemilik si anak, ibu, bapa, bahkan sehingga nenek moyang berabad generasi lamanya. Dia berhak melakukan apa sahaja mengikut kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Sebagai hamba, apakah kita layak untuk mempersoalkan qada’ dan qadar Allah, hanya kerana ia membunuh rasa selesa kita hidup di dunia ini? Pastikah kita bahawa setiap sesuatu yang kita suka membawa kebaikan kepada kita atau sebaliknya? (rujuk 2:216) Inilah jawapan kepada si ayah yang meratapi kematiannya anaknya seperti yang disebutkan sebelum ini.

    Sedarlah, bahawa diri kita adalah HAMBA ALLAH. Meskipun kita KAYA, biarpun kita SIHAT, walaupun kita BERKUASA, namun semuanya itu tidak seharusnya membiaskan kita daripada mengenali hakikat diri yang sebenar. Kita tetap hamba. Redha dan bersyukur dengan gelaran itu.  Untuk menjadi redha, kunci yang perlu dipegang adalah BERSANGKA BAIK kepada Allah S.W.T. Biarpun terkadang sukar, namun berusahalah untuk meyakininya. DIA adalah seperti mana sangkaan hamba-Nya. Dengan itu, insyaAllah, kita akan mampu menerima segalanya dengan tenang dan sabar, seperti mana si ayah yang redha menerima pemergian kesemua ahli keluarganya..Moga SIKAP ini menjadi contoh teladan buat kita di hari muka…

Rahmat ujian ini…

September 29th, 2006 by harne2

    "Harus ada rasa bersyukur, di setiap kali ujian menjelma..itu jelasnya membuktikan Allah mengasihimu setiap masa"  …Bait lagu ini begitu jelas terngiang-ngiang di minda setiap saat dan masa…Alhamdulillah, masih gagah jua diri ini untuk melafazkan rasa syukur…syukur tidak terhingga atas ujian yang singgah menjengah tahap kesabaran dan tawakal kepada Allah S.W.T.  Sesungguhnya kala ini terasa benar rahmat kasih sayang Allah  yang melimpah ruah,  lantaran mampu tersenyum dan berasa tenang di sebalik  musibah yang  menimpa.

    Malam itu ketika berada di bengkel, saya merasakan sesuatu yang tidak kena berlaku. Puas saya mengambil langkah berhati-hati semasa menggunakam mesin ‘lathe’, tetapi kemalangan berlaku juga. Hati saya menyatakan sesuatu yang buruk mungkin terjadi. Saya tidak tahu kenapa, tetapi rasa itu terlalu kuat sehingga menyebabkan saya hilang mood untuk membuat kerja. Jam 10, Iqbal menelefon, tanyakan bila bengkel saya tamat. Jam 10.30, setibanya saya di rumah, perasaan menjadi  berdebar-debar pula. Di ruang tamu, ramai rakan-rakan telah berkumpul. Semuanya menyuruh saya bersabar. "Instinct" saya semakin kuat. Setibanya di pintu bilik, pemandangan saya membenarkan apa yang saya rasa buat sekian lama. Malam itu, rumah kami telah dipecah. Barang-barang saya paling banyak diambil. Laptop, kamera digital, 3 pasang jam, handphone,webcam, ipod shuffle, wang tunai dan beg antara item yang ’selamat’ dibawa lari..Perasaan bercampur baur. Laptop yang di dalamnya terdapat dokumen-dokumen penting, gambar-gambar kenangan, jam tangan pemberian abang saya, kamera yang saya beli dengan menggunakan wang simpanan selama berbulan-bulan…setiap satunya mempunyai ’sentimental value’ yang tersendiri…Tidak tahu apa hendak dikata. Keadaan amat sukar buat diri saya untuk menjadi tenang di kala itu. Hendak marah, tidak berguna. Hendak menyesal pun tiada hasilnya. Saya menjadi semakin tertekan apabila cuba menghubungi keluarga di tanah air, tetapi gagal semuanya. Mujurlah ada mereka yang menenangkan perasaan. Saya bersyukur.

    Lantaran tidak tahu apa yang harus dibuat, saya menunaikan solat dan membaca al-Quran. Baca semahu-mahunya. Hayati segala maksudnya. Kebetulan ayat yang dibaca bertepatan dengan apa yang sedang terjadi. Saya menangis terharu, Allah memberikan bantuannya pada jalan yang tidak disangka-sangka. Sejurus membaca ayat-ayat suci itu, perasaan saya berubah menjadi tenang. Saya mula dapat menerima apa yang berlaku. Sejurus selepas itu, saya mendapat panggilan dari keluarga di tanah air. Perasaan menjadi lega dan kembali stabil. Alhamdulillah, segala syukur saya panjatkan kepada kepada Allah S.W.T. Dialah yang bisa membolak-balikkan hati. Zat yang bisa menyempitkan dan melapangkan sesiapa yng dikehendaki-Nya. Saya berdoa pada-Nya agar mengekalkan ketenangan ini…biarpun sesekali terasa ‘kehilangan sesuatu’ setiap kali menjengah ke pintu bilik..namun saya amat yakin dan percaya, Allah itu maha Adil, tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia…Pasti dan PASTI, ada HIKMAHNYA.

    Segalanya tersurat pada suatu lakaran terindah, yang unik buat empunya diri. Mungkin, mata kasar yang culas tidak bisa melihat "keindahan" sulaman taqdir yang menimpa ini, tetapi yakinlah dari pandangan Allah, ia adalah coretan terbaik, istimewa buat insan bernama manusia.

    Peristiwa kali ini benar-benar mengajar saya, bahawa harta dunia ini hanya PINJAMAN semata-mata. Semuanya HAK ALLAH. DIA bisa mengambilnya bila-bila masa mengikut kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Andai kita cinta pada dunia, PASTI dan pasti kita akan menangisinya. Kala ini saya cuba mencermin kembali watak-watak manusia yang berusaha siang dan malam mengumpul harta kekayaan, sehingga terkadang menngakibatkan kesusahan kepada orang lain dan mengabaikan tanggungjawab agama. Alangkah kasihannya mereka, punya matlamat hidup yang singkat dan tidak tentu lagi mampu digapai oleh tulang empat kerat…

     Walaubagaimana pun, saya sedaya upaya cuba menanamkan yakin di dalam hati, bahawa setiap sesuatu yang diambil, Allah akan menggantikannya dengan gantian yang jauh lebih baik, andai kita sabar, ikhlas dan redha…Saya akhiri entri ini dengan lirik sebuah nasyid yang penuh bermakna….

"
Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap barukan terasa
Bila hilang di dalam genggaman

Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Indah di mata namun tiada

Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta

Hanya cinta-Mu
Ku harap tumbuh
Dibajai bangkai nafsu yang kubunuh"

p/s: Ada pepatah yang saya ubah, sayang ilmu ajar-ajarkan, sayang harta sedekah-sedekahkan..moga diri kita tenang di dalam rahmat Allah yang berkekalan…

Belajar biar berguru..

September 11th, 2006 by harne2

Salam…

mohon maaf kepada sesiapa yang membaca entri "Amalan membaca Al-Quran ketika haid" yang saya post tempoh hari. Sesungguhnya kesilapan besar yg saya lakukan kerana meletakkannya tanpa merujuk kepada yang lebih arif terlebih dahulu. Bagi saya, (berdasarkan apa yang pernah saya belajar) hujah yang diberikan meyakinkan. Namun saya sedar, hendak belajar perlulah berguru…Guru yang kita yakin dengan ilmunya…Maaf atas segala kesulitan, kepeningan dan ketensionan. Segalanya amat dikesali sekali….

“Selembar seerah secangkir kisah.”

September 9th, 2006 by harne2

Hilang duka..pagi ini ceria mentari menyiramkan sinarnya. Terasa amat syukur atas nikmat alam buana yang indah permai ini. . Sebenarnya, bukan sahaja mengingati Allah dengan berzikir, hati akan menjadi tenang, bahkan melihat kepada alam semesta yang sentiasa taat dan berzikir pada Allah juga, hati akan terasa damai….Pastilah bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu itu secara sia-sia.Alhamdulillah..

Sesi ‘keluarga’ pagi ini telah menyajikan pelbagai santapan minda dan rohani yang ‘mengenyangkan’. Bermula dari terjemahan surah Ali-Imran (3:153-170), menyaksikan bagaimana konsep syura yang dianjurkan oleh Islam begitu efisyen dan praktikal dalam menghasilkan sebuah keputusan yang berkesan. Lihat sendiri contoh ketika nabi bersyura bersama sahabat lewat kedatangan musyrikin Mekah yang ingin menyerang Madinah semasa perang Uhud. Walaupun baginda seorang nabi, namun keputusan syura majoriti sahabat tetap diutamakan. Umat Islam keluar dari Madinah untuk berperang. Pastilah mempunyai hikmah yang tersendiri di sebaliknya. (Two heads are better than one, right?)

Menyusuri seerah perang Khandaq,terlalu banyak pengajaran agung yang dapat dipetik dan diamalkan. Pertama, kita bukan sahaja perlu menjadi seorang Mukmin, tetapi Mukmin yang Professional. Arif dalam tindakan. Menggunakan pelbagai sumber yang ada sehinggakan tentera Musyrikin mengatakan bahawa taktik yang digunakan (digging trench) tidak pernah dilihat sebelum ini dan mereka tidak tahu bagaimana untuk melepasinya.. Kedua, kebijaksanaan Rasulullah mententeramkan para sahabat yang sedang di dalam ketakutan ketika itu dengan menghantar 4 sahabat untuk berunding dengan Kaum Yahudi Bani Quraizah. "Seandainya mereka (Yahudi) bersama-sama (allied with) orang Islam, maka sebarkanlah seluas-luasnya kepada kaum Muslimin. Namun andai sebaliknya, hanya khabarkan pada Rasulullah seorang sahaja". Namun sejarah menyaksikan bahawa Yahudi adalah satu bangsa yang tidak pernah taat kepada Rasul, dengan mudah mereka berkhianat serta memecah perjanjian. Umat Islam berhadapan dengan 3 musuh utama: Tentera Musyrikin di utara Madinah, Yahudi di selatan dan orang-orang Munafiq di pertengahan!!..di kalangan mereka sendiri.. Dalam keadaan yang tegang dan tertekan, para sahaabat ketika itu tidak mudah hilang harga diri untuk menyerahkan sepertiga hasil tanaman kurma kepada kaum yahudi sebagai ganti mereka berundur dari medan peperangan. Penyerahan ini bererti mereka menjatuhkan maruah dan air muka di tangan kaum Yahudi. Hal ini menunjukkan betapa mereka berpegang kuat kepada tali Islam, mempertahankan keISLAMan mereka walau apa jua keadaan. Cuba kita bandingkan dengan masyarakat Islam hari ini. Fikirlah sendiri. Contohnya, jika ancaman dan gangguan dijadikan alasan untuk membuka hijab ketika belajar di luar negara, maka ukurlah sendiri tahap keimanan kita. Bumi Allah sangat luas terbentang. Belajarlah daripada seerah. Mereka menggenggam Islam ibarat menggigitnya dengan geraham. Mereka tidak punya harta, anak pinak yang ramai, pendidikan yang tinggi, tetapi mereka percaya hanya janji Rasulnya..

Kala kesusahan, mudah untuk kita menggambarkan kesenangan dan beramal untuk nikmat di syurga…namun mengapa ketika senang, kita hampir lupa kesemuanya? Allah itu Tuhan yang sama ketika kita senang atau susah. Mengapa perlu ada double standard dalam menghambakan diri kepadanya?

Islam itu agama fitrah. Ia diturunkan sesuai dengan harmoni manusiawi yang inginkan kebaikan dan kesejahteraan. Kembali kepada Islam bererti kembali kepada fitrah kita yang benar, bukan menjadi KERAS atau jumuD, kerana kita adalah umat pertengahan (Ummatan Wasatan). Kembali kepada Islam bererti kembali menjadi umat yang agung seperti mana pernah dicapai oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, Umar Abdul Aziz dan banyak lagi. Mereka telah membuktikan bahawa umat Islam adalah umat terbaik, kini giliran kita telah pun tiba…mengapa perlu terleka lagi?

p/s: Suatu peringatan buat diriku yang sering lupa..Do more than touch, FEEL. Do more than look, OBSERVE. Do more than hear, LISTEN. Do more than read, COMPREHEND. Do more than talk, COMMUNICATE. Do more than know, UNDERSTAND. Do more than think, REFLECT. Do more than exist, LIVE. Do more than dream, REALIZE. Do more than be, be the BEST you can.