Coretan buat keluarga tercinta..
Saujana mata ini melirik pada potret keluarga yang sering mengisi kekosongan hari-hariku..Tanpa keluarga ini, siapalah aku untuk berpijak di bumi yang luas terbentang. Saat ini terasa terlalu bersyukur kerana nikmat kebahagiaan pinjaman-Nya masih dapat kuhirup manisnya..Alhamdulillah..
Seketika terpandang wajah abah, insan mulia yang kusanjung tinggi ketegasan serta sifat tanggungjawabnya. Biarpun riak mukanya tegas, namun sifat cerianya sentiasa mencuit hati kami sekeluarga hingga bisa melupakan pada sibuknya segala amanah di tempat kerja. Ibu, kelihatan tenang pada apa jua keadaan, beriku kekuatan untuk menongkah arus hidup penuh cabaran. Dikaulah tempat
bermanja, berkongsi cerita suka dan duka, teman dan penjaga, jua mengajarku mencari redha Ilahi dalam setiap perilaku ku saban hari. Tanpamu, aku tidak mungkin berdiri segagah ini..Andai kuhimpun seluruh dunia dan seisinya, nescaya tidak sedikitpun mampu membalas jasa keduamu..Terima kasih abah dan ibu..
Menatap wajah along, abang sulungku yang telah pun bergelar seorang bapa dan jurutera yang berjaya, bagai suatu inspirasi untukku terus berusaha mengejar cita-cita yang tinggi. Meskipun terkadang tegas terhadap adik-adikmu, namun jauh di sudut hati, cetusan kasih sayangmu pada kami semua memberi sinar harapan buat kami meneruskan kehidupan. Angah, seorang yang hafiz, sentiasa ceria dan bersahaja dalam tutur katamu, membuatkan mereka di sekelilingmu berasa selesa dan dihargai. Kau merantau jauh mencari ilmu syariatullah, buat bekalan untuk disampaikan kepada manusia bahawa perintah Allah adalah sanjungan utama. Kesabaranmu, menjadi kunci pembuka pintu kejayaan di dunia dan akhirat. Moga kau terus kuat dan istiqamah dalam amal perbuatanmu.
Adikku Firdaus, fitrahmu suci dan bersih. Jangan dicemari dengan noda yang bisa membinasakan. Andai tersalah langkah, kembalilah kepada fitrahmu itu. Mendung semalam, jangan biar ia terus menghantuimu hingga ke hari ini. Kau punya kekuatan jua kelebihan. Manfaatkanlah pada jalan yang sebaiknya. Moga kau menjadi seorang yang matang dalam tindakanmu di masa hadapan.
Seketika pandanganku tertumpu pada wajah manja Faten, adik bongsuku. Kulihat dengan penuh kasih sayang dan doa, agar dikau terus tabah dalam menempuh onak hidup yang meruntun kekuatan serta kecekalan yang berpanjangan. Kau bisa menjadi pemimpin di hari muka. Maka perkuatkanlah persediaanmu dalam segenap ciri kehidupan, agar cita-citamu bakal menjadi suatu kenyataan.
Dan aku, aku akan terus di sini, memburu segeggam kejayaan yang kuharap bakal menyerikan kehidupanku di masa hadapan. Meskipun di kala ini kita semua jauh terpisah, namun ikatan hati yang suci tidak akan terluput sama sekali. Biarpun selautan badai menduga, namun bahtera ini akan tetap kita pertahankan bersama. Ikatan ini, bukan ikatan yang biasa, padanya tersimpul rapi segenap jiwa, tersulam bersama jalinan kasih sayang yang tulus dan kudus, dunia dan akhirat. Ya Allah, aku bersyukur pada-Mu atas nikmat bahagia yang Kau anugerahkan ini. Moga kuterus bersyukur dan menghargainya seiring perjalanan masa. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah…
