Seks dan pergaulan bebas…di manakah NILAI kita?
"Semalam
seorang sahabat mengirimkan ustazmuda satu e.mail dan meminta agar
ustazmuda dapat mengeluarkan di blog dan dikongsikan dengan beberapa
groups. Kiriman e.mail yang juga beliau dapati melalui e.mail sahabat
lain… kira perpanjangkan perkara yang baik moga ada manfaatnya.
E.mail merupakan satu soaljawab seorang remaja dengan seorang
pendakwah. Pendakwah yang memang agak dikenali tika ini.
Persoalan
yang boleh dikira sebagai lumrah dialam remaja sekarang. Remaja yang
sedang kita hadapi hari ini. Persoalan mungkin pelik bagi kita tetapi
adalah dianggap biasa pada mereka. Itulah hakikatnya. Perzinaan!!!
sesuatu yang seolah sudah menjadi biasa bukan sahaja dikalangan remaja,
bahkan melibatkan setiap generasi. Dari pelajar sekolah hinggalah ke
warga emas yang telah menjangkau usia pun terlibat dalam perkara
sebegini. Amat menggerunkan.
Ustazmuda tidak mahu memanjangkan kalam… teliti fahami dan hayatilah pemikiran sebahagian besar anak muda kita sekarang.
Soalan :
Seorang
remaja yang menamakan dirinya Yang Ikhlas telah menghantar satu surat
kepada Dr Danial Zainal Abidin baru-baru ini. Antara isi surat itu
ialah:
Dr. Danial yang dihormati. Saya telah bercinta dengan
seorang wanita. Demi cinta kami telah berzina, tetapi saya tidak rasa
bersalah sebab saya ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai
isteri saya. Saya tidak bertujuan untuk mempermainkannya. Rakan-rakan saya mengatakan tindakan saya adalah gentleman, tetapi saya telah dimarahi oleh orang-orang tua saya. Saya rasa mereka berotak kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.
Jawapan Dr. Danial Zainal Abidin:
Yang
Ikhlas & yang dihormati. Saya bersyukur tentang keikhlasan saudara
dan saya berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu
jugalah saya menulis jawapan ini kepada saudara. Dunia pada hari ini
sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis
nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon
dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah
menulis bahawa: ‘ Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah
runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas… Di akhir
abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan
yang paling dahsyat sekali!
Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu.
Nabi bersabda: ‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’. (Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi)
Nilai
akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting
bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia
mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita
menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni,
selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya.
Alangkah
indahnya firman Allah yang bermaksud: ‘Isterimu adalah ladang bagimu
maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu’(Surah
Al-Baqarah ayat 223).
Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin,
puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara
yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya. Saya harus
mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep
Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence,
Italy yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya The
Prince telah menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat
membersihkan cara.
Asalkan niat kita baik, berzinalah,
menipulah, khianatilah, menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua
adalah halal bagi Machiavelli. Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada
perkaitan dengan krisis nilai ini apabila seorang tokoh koporat
berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan
seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa
niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai
yang sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa
perkahwinan!
Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan
seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan
akhlak adalah kolot. Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan
sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas telah berjaya merebakkan
penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel
pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia - Killer Epidemic in Sex Paradise (AIDS di Asia - Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya.
Di
California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997.
Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika
mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua
kali ganda kemungkinan diserangi masalah emosi di dalam hidup mereka,
berbanding dengan anak-anak lain
(Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).
Kita
di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi
luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan
yang membanggakan bagi dunia moden. Islam menekankan bahawa niat dan
cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat
mengharamkan zina.
Nabi kita bersabda, Selepas dosa syirik
kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang
meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya!
(Hadis riwayat Ahmad & Thabrani)
Saya
berharap saudara Yang Ikhlas akan kembali ke jalan yang murni
berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang
kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran. Kaum Lut hancur
kerananya. Kota Pompei hancur kerananya. Empayar Rom juga hancur
keranannya. Justeru, kembalilah ke pangkal jalan."
… teringat
ustazmuda satu kisah di zaman baginda rasul dahulu. Di mana rasul SAW
didatangi oleh seorang musyrik dan mengatakan kepada baginda akan
keinginannya untuk menganut Islam, akan tetapi beliau tdak dapat
meninggalkan perbutan zina. Baginda tidak pula memarahinya jauh sekali
mengherdik pemuda itu, justeru baginda bertanya semula.
Sukakah kami andai seseorang berzina dengan ibu kamu???
Sukakah kamu andai seseornag berzina dengan kakak kamu???
Sukakah kamu andai seseornag berzina dengan adik kamu???
Lantas
pemuda tersebut mengatakan tidak. Nabipun menyambung, begitu jugalah
kepada mereka yang dizinai. Begitulah pendekatan nabi lembut dan penuh
hikmah.
Nukilan : Dr. Danial bin Zainal Abidin
(M.B.Ch.B. Universiti Alexandria)
Doktor Perubatan, Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
Motivator Mutiara FM (Radio Pulau Pinang),
Penulis 8 buah buku,
Kolumnis Majalah I terbitan Karangkraf,
Penasihat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa,
Imam Waris Beradat Pertubuhan Seni Silat Gayung,
Pendakwah Bebas dan Khatib Jemputan
Bapa 8 Orang Anak (3 Belia 4 Remaja dan 1 Tadika)